Lelaki warga asing dipukul dua individu gara-gara tak puas hati

KLANG – Gara-gara tidak berpuas hati dengan kehadiran seorang lelaki warga asing yang tinggal di kawasan kediaman mereka, dua individu bertindak memukul mangsa dalam kejadian di Jalan Kulim, Off Jalan Meru baru-baru ini.Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian tersebut dikesan melalui satu video tular yang memaparkan seorang lelaki warga asing dipukul oleh dua suspek lelaki pada jam lebih kurang 9 malam pada 31 Julai lalu."Bertindak atas maklumat, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan."Motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang tinggal di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Katanya, usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan oleh pihak polis."Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Nazmi Mat Noh di talian 03-3291 2222," katanya.Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan dua individu memukul seorang lelaki di sebuah kawasan perumahan di sini.Rakaman memaparkan ketika kejadian mangsa menunggang motosikal telah ditahan kedua-dua individu terbabit.Kedua-dua individu itu kemudiannya bertindak memukul mangsa berulang kali.