Dadah RM19.26 juta dirampas, lima individu diberkas

KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah sewa dan apartment di ibu kota sebagai stor penyimpanan terbongkar selepas diserbu polis pada 29 Julai lalu.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussien Omar Khan berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan, seorang lelaki dan dua wanita warga Vietnam berusia 26 hingga 30 tahun secara berasingan serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM19.26 juta."Siasatan lanjut mendapati dua lelaki warga tempatan berperanan sebagai kordinator dan 'transporter'."Lelaki dan dua wanita warga Vietnam ini pula masuk ke Malaysia pada 8 Julai lalu dengan menggunakan visa pelancong. Dua wanita ini bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO ) di sebuah pusat hiburan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.Hussein berkata, serbuan pertama, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menyerbu sebuah apartmen di Taman Kuchai Entrepreneur pada jam 12 tengah hari."Kita menahan seorang lelaki warga tempatan, seorang lelaki dan dua wanita warga Vietnam dalam serbuan itu."Hasil pemeriksaan lanjut di ruang tamu kediaman itu, kita menjumpai lapan kotak berisi 91 bungkusan disyaki bunga ganja anggaran berat 42.3 kilogram dianggarkan bernilai RM1.48 juta," katanya.Beliau berkata, serbuan kedua pula, seorang lelaki warga tempatan ditahan di sebuah rumah teres di Taman Sri Hartamas pada jam 2.10 petang."Kita merampas 225 bungkusan plastik mengandungi dadah syabu seberat 234 kilogram dan 200 bungkusan plastik dadah ketamin anggaran berat 205.7 kilogram."Siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan menerima gaji RM7,000 daripada sindiket pengedaran dadah. Dia menerima arahan daripada seseorang untuk menghantar dadah sekiranya terdapat permintaan," katanya.Hussein berkata, ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati hanya seorang positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin."Hasil semakan terhadap rekod lampau mendapati hanya seorang suspek warga tempatan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan senjata," katanya.Beliau berkata, polis turut menyita pelbagai jenis aset termasuk tiga buah kenderaan, tiga utas jam tangan, pelbagai barang kemas dan wang tunai RM800."Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.