Sindiket kayu gaharu diserbu, rampasan lebih RM100 juta

MELAKA – Tindakan licik sindiket memproses dan menyimpan kayu gaharu yang beroperasi secara haram sejak tahun lalu terbongkar selepas diserbu polis di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini pada Khamis lalu.Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan yang dilakukan di dua lokasi berasingan itu diketuai Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) Bukit Aman dan disertai agensi berkaitan menerusi risikan sejak dua minggu lalu.Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah kilang, pihaknya menemui longgokan disyaki kayu dan bongkah gaharu, serta longgokan guni yang disyaki mengandungi serbuk kayu gaharu, mesin ayak dan dapur penyulingan minyak di luar kilang.Katanya, hasil serbuan itu berjaya merampas kayu gaharu spesies pokok aquilaria malaccensis atau gaharu (agarwood) yang disyaki diperoleh secara tidak sah dari seluruh negara termasuk dari sebuah kawasan padang golf di negeri ini."Kesemua 566 guni kayu karas seberat 12,178 kilogram (kg), 277 guni serbuk kayu (5,783kg), kotak kayu karas (100kg), kayu karas jenis damar minyak (2,585kg), 43.84 meter padu minyak, serta 167 tunggul disyaki diimport."Rampasan di sebuah rumah di Ayer Keroh Heights pula melibatkan pelbagai jenis kayu termasuk kayu gaharu dan jaras yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM106,431,468," katanya.Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di lokasi serbuan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini pada Isnin.Tambahnya, turut dirampas beberapa peralatan lain iaitu mesin dan tong gas berjumlah RM384,362 selain menahan tiga individu termasuk dua lelaki warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen sah serta seorang wanita warga tempatan berusia 55 tahun yang dipercayai pemiliknya.Jelasnya, hasil pemeriksaan juga mendapati kilang tersebut mempunyai lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan (PBT) namun tiada pendaftaran atau kebenaran sah daripada Jabatan Perhutanan atau Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).Dzulkhairi turut tidak menolak kemungkinan kes tersebut berkaitan dengan tiga laporan polis mengenai kehilangan kayu gaharu di kawasan hutan padang golf sekitar negeri ini namun siasatan masih dijalankan."Kita percaya sindiket ini menjalankan aktiviti pemprosesan untuk pasaran tempatan dan luar negara."PDRM juga tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian sindiket lain di seluruh negara dan operasi bersepadu akan diteruskan untuk membanteras kegiatan haram ini," katanya.Pelbagai kesalahan dikenal pasti termasuk Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984; Seksyen 3(1) Akta Industri Berasaskan Kayu 1986; Undang-Undang Kecil MBMB berkaitan lesen premis; dan Seksyen 14(6) Akta Kawalan Bekalan 1961.OBK itu turut disertai Jabatan Perhutanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).