Remaja biadab beri gelandangan nasi tulang ayam

PUTRAJAYA – Tindakan sekumpulan remaja lelaki yang memberikan bungkusan nasi bersama sisa tulang ayam goreng kepada seorang gelandangan disifatkan sebagai biadab dan tidak berperikemanusiaan.Klip video berdurasi kurang seminit itu memaparkan tiga remaja sedang menikmati ayam goreng dari sebuah restoran makanan segera, sebelum meletakkan tulang-tulang ke dalam bungkusan nasi dan dipercayai menyerahkannya kepada seorang lelaki gelandangan.Wajah gelandangan terbabit kelihatan terkejut apabila membuka bungkusan tersebut, namun tetap mengucapkan terima kasih kepada pemberi.Lebih mengundang kemarahan netizen, pada akhir video berkenaan, remaja terbabit turut merakam aksi mereka memberi ayam goreng sebenar kepada seekor anjing, dengan kapsyen sinis: "Kita perlu belajar membuat kerja kebajikan untuk membantu orang lain."Walaupun kandungan itu telah dipadamkan, video berkenaan terus tular di media sosial dan mencetuskan kecaman meluas dalam kalangan orang ramai.Pendakwah terkenal, Firdaus Wong Wai Hung tampil mengecam perbuatan tersebut yang disifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap insan kurang bernasib baik."Selepas ini minta maaf, selesai. Inilah yang berlaku apabila menyalahgunakan akal yang ALLAH SWT kurniakan demi konten."Alhamdulillah, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menghina orang miskin, tetapi Islam mengajarkan umatnya untuk membantu orang miskin," katanya.Firdaus yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) turut menegaskan bahawa perbuatan itu tidak wajar dilihat sebagai mewakili sesuatu kaum."Ini hanya kebiadaban tiga remaja ini, bukan keseluruhan kaum Cina," tegasnya.