Timbalan Speaker cadang beri ganjaran pemberi maklumat salah laku

SHAH ALAM - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memberikan ganjaran kepada kakitangan awam yang memberikan maklumat berkaitan salah laku dalam jabatan, mengikut lunas undang-undang.Katanya, aspek kewangan merupakan antara dorongan utama manusia, justeru insentif seperti ganjaran tunai boleh menjadi pemangkin keberanian kepada penjawat awam untuk tampil melaporkan salah laku.Menurutnya, pendekatan itu juga berpotensi membanteras perbuatan tidak berintegriti dari peringkat awal sebelum ia membawa kerosakan yang lebih besar kepada sistem pentadbiran negara."Saya ingin mencadangkan sesuatu yang mungkin di luar kebiasaan, di luar pendekatan konvensional. Kita sentiasa memperjuangkan tadbir urus yang baik serta usaha menangani isu rasuah. Pernahkah kita terfikir untuk ‘memotong’ masalah ini dari awal, sebelum ia berlaku?"Jika kita lihat dorongan manusia, antara yang utama ialah soal kewangan. Jadi, mengapa tidak, mungkin melalui peraturan pentadbiran kerajaan atau menerusi peruntukan undang-undang, kita beri ganjaran kepada kakitangan awam yang tampil membongkar salah laku atau penyelewengan dalaman," katanya pada sidang Parlimen pada Isnin.Tambahnya, pendekatan memberi ganjaran kepada pemberi maklumat bukanlah sesuatu yang asing, bahkan telah diamalkan dalam kes-kes jenayah.Ujarnya, ganjaran tersebut bukanlah bertujuan mengkhianati rakan sekerja, sebaliknya menjadi satu bentuk keberanian moral demi melindungi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan."Tiada apa yang dapat diketahui atau didedahkan melainkan daripada individu yang terlibat secara langsung atau orang sekeliling mereka."Jadi, ganjarkan mereka mungkin RM1,000 atau RM2,000, tetapi secara sulit. Saya rasa ini boleh dipertimbangkan," katanya.