JITRA – Semangat dan tekad seorang anak pemandu lori dari Sungai Petani (Kedah), Rosmalina Muhamad Rezan, 21, menjadi perhatian apabila menerima Anugerah Pelajar Cemerlang sempena Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Kedah 2025 yang berlangsung di Dewan Sri Mas, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra.Rosmalina, graduan Sijil Operasi Perhotelan dari Kolej Komuniti Sungai Petani (KKSP) tidak sahaja mencatat pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, malah turut menjadi inspirasi kepada rakan-rakan seperjuangan apabila berjaya mengimbangi komitmen kerja sambilan dan pengajian secara konsisten sepanjang tempoh pengajian."Saya bukan datang dari keluarga senang. Ayah saya seorang pemandu lori, ibu suri rumah. Tapi saya percaya pelajaran adalah jalan keluar daripada kesusahan. Sebab itu saya kerja sambilan, kumpul duit sendiri untuk terus belajar dan bantu keluarga."Ada ketikanya saya hampir berputus asa kerana kepenatan mengurus kerja sambilan dan tugasan pengajian, namun dorongan keluarga serta sokongan pensyarah KKSP membuatkan saya terus kuat.Baginya, berada dalam persekitaran pembelajaran yang positif memberi semangat untuk tidak mudah menyerah.Ujar Rosmalina, demi menampung kos sara diri dan keperluan belajar, beliau melakukan kerja sampingan sebagai barista kafe dan pekerja dobi."Namun saya tetap fokus dan komited menyiapkan tugasan pada lewat malam."Saya percaya semua ini ialah proses yang membentuk jati diri saya agar lebih tabah dan berdikari. KKSP bukan sahaja beri ilmu, tapi sokongan moral yang saya sangat hargai," jelasnya..Bukan itu sahaja, beliau turut berkongsi cerita pernah menolak beberapa tawaran kerja termasuk daripada hotel lima bintang dan syarikat penginapan eksklusif kerana ingin menimba pengalaman terlebih dahulu dalam pelbagai syarikat industri sebelum memulakan perniagaan jenama minuman sendiri suatu hari nanti.Anugerah Pelajar Cemerlang Kolej Komuniti Negeri Kedah disampaikan oleh Ts. Dr. Nor Aznan Mohd Nor, Pengarah Sekretariat Akreditasi Teknologi dan Teknikal Malaysia (TTAS) dan disaksikan oleh Pengarah KKSP, Dr. Reezlin Abdul Rahman.Bina masa depan melalui TVETMenurut Dr. Reezlin, kisah Rosmalina mencerminkan keberkesanan pendidikan berasaskan kemahiran (TVET) sebagai laluan yang realistik dan mampan untuk belia membina masa depan mereka."Inilah bukti bahawa walaupun hanya berkelulusan taraf sijil, pelajar kita mampu bersaing dan cemerlang, asalkan diberi ruang dan bimbingan. TVET adalah pemangkin mobiliti sosial dan membuka banyak peluang sebenar dalam industri."Graduan seperti Rosmalina menunjukkan bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua, malah laluan utama kepada pembangunan modal insan yang berkualiti dan beretika," ujar beliau.Untuk rekod, KKSP merupakan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. Ia menjadi pilihan utama dalam kalangan pelajar lepasan sekolah dan belia sekitar Sungai Petani serta dari luar daerah.Sehingga kini, enam program ditawarkan oleh KKSP dan mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat dan pihak industri.Program-program tersebut ialah Diploma Terapi Kecantikan, Sijil Terapi Kecantikan dan Spa, Sijil Kulinari, Sijil Teknologi Automotif, Sijil Operasi Perhotelan dan Sijil Khas Pastri. Keenam-enam program ini direka bentuk mengikut keperluan industri, berasaskan latihan praktikal yang intensif dan relevan dengan permintaan semasa.Semua program ini tidak sahaja membekalkan kemahiran teknikal, malah turut membina sahsiah, etika kerja dan kebolehan keusahawanan dalam kalangan pelajar.TVET untuk semuaDalam ucapan di majlis konvokesyen tersebut, Ts. Dr. Nor Aznan Mohd Nor menegaskan bahawa institusi seperti KKSP memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan negara melalui tenaga kerja berkemahiran tinggi.Katanya, graduan TVET bukan lagi pengisi kekosongan kerja semata-mata, tetapi penyumbang utama kepada ekonomi dan pembangunan komuniti."Mereka ialah pelapis tenaga mahir yang akan menerajui pelbagai sektor penting negara."Penekanan system Pendidikan negara bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi seperti memperkenalkan pelbagai program peringkat sijil dan diploma seperti di KKSP adalah sangat bertepatan," jelas Ts. Dr. Nor Aznan.Majlis Konvokesyen Negeri Kedah 2025 menghimpunkan lebih 600 graduan daripada Kolej Komuniti seluruh Kedah, dengan pelbagai kisah kejayaan yang membuktikan kekuatan dan peranan TVET dalam membina masa depan lebih cerah untuk generasi muda.