SEREMBAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadangkan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas berkaitan pemasangan Jalur Gemilang di sekolah.Ketua DAP Negeri Sembilan, Lim Chun Weng berkata, latihan khusus kepada kakitangan bukan akademik dalam pengendalian bahan dan simbol patriotik itu juga perlu dilaksanakan.Pada masa sama, beliau turut menyarankan KPM mengambil pendekatan yang sederhana dan mendidik, bukannya menghukum dalam menangani isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson baru-baru ini."Walaupun kesilapan ini tidak wajar dipandang ringan, pendekatan yang bersifat mendidik adalah jauh lebih sesuai berbanding menghukum secara keras dan tidak berimbang."Pihak sekolah telah mengakui kesilapan teknikal tersebut yang berpunca daripada kecuaian seorang kakitangan sokongan dansegera membetulkan kesilapan dan memohon maaf secara terbuka melalui saluran rasmi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Tambah beliau, keterbukaan pihak sekolah mengakui kesilapan dilakukan jelas membuktikan bahawa tiada sebarang niat jahat dalam isu terbabit.Ujarnya, tindakan tegas tanpa mengambil kira konteks dan niat hanya akan mencetuskan suasana ketakutan dalam kalangan institusi pendidikan yang akhirnya boleh menjejaskan semangat sambutan Hari Kebangsaan."Bulan Kebangsaan seharusnya menjadi peluang untuk memperkukuh perpaduan dan semangat patriotik."Sekiranya kesilapan yang tidak disengajakan ini dihukum secara berlebihan, ia boleh menyebabkan pihak sekolah takut untuk mengambil inisiatif menyemarakkan sambutan," katanya.Selain itu katanya, insiden seumpama itu juga pernah berlaku di agensi kerajaan dan institusi lain termasuk penggunaan grafik bendera yang salah dalam laporan rasmi kementerian.Justeru itu ujar Chun Weng, hukuman bukanlah satu-satunya jalan untuk menegakkan patriotisme."Kita perlu membina semangat cintakan negara dengan kasih sayang, bukan ketakutan."Kesilapan yang diperbetulkan dengan penuh tanggungjawab patut dijadikan teladan, bukan bahan hukuman," katanya.