KUANTAN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa mengambil tindakan segera terhadap video tular memaparkan sekumpulan pempengaruh memberikan nasi bersama tulang ayam yang telah dimakan kepada seorang gelandangan.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, kandungan seperti itu bukan sahaja tidak sensitif, malah memperlekehkan maruah insan lain.Tegasnya, adalah tidak wajar sama sekali menjadikan penderitaan golongan terpinggir sebagai bahan hiburan atas nama ‘kebajikan’."Saya amat kesal dengan tindakan tidak beretika ini dan telah mengemukakan aduan rasmi kepada SKMM."Saya turut menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi menurunkan kandungan tersebut."Ini bagi mengelakkan penyebaran lebih lanjut yang bakal terus mencemarkan nilai murni masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Terdahulu, tular sebuah video pendek yang memaparkan tindakan sekumpulan pempengaruh memberikan nasi bersama tulang ayam yang telah dimakan kepada seorang gelandangan, sebelum kemudiannya menyerahkan set makanan lengkap.Kandungan tersebut menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak yang menganggap ia tidak beretika dan memperlekehkan maruah individu terbabit.Mengulas lanjut, Chun Kuang berkata, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya semua pihak perlu bermuhasabah.Menurutnya, fenomena seperti ini tidak berlaku dalam ruang kosong, tetapi lahir kerana kewujudan pencipta kandungan tidak beretika serta permintaan daripada penonton yang ghairah terhadap kandungan sensasi dan kontroversi."Selagi kandungan sebegini terus mendapat sambutan, selagi itu ia akan terus dihasilkan," ujarnya.Justeru, beliau menyeru agar kerajaan memperkukuhkan pendidikan literasi digital, menyemai budaya penciptaan kandungan beretika serta membina kesedaran masyarakat agar lebih peka terhadap nilai-nilai."Menghormati setiap insan dan maruah mereka adalah tanggungjawab bersama serta jangan normalisasikan penghinaan," katanya.