SHAH ALAM - Dunia perlu bersatu menghentikan sikap ‘raksasa’ Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang berterusan melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kepungan yang dilakukan oleh kedua-dua negara bersekutu itu perlu ditentang, meskipun memerlukan kekerasan.Menurutnya, Israel ketika ini menggunakan kebuluran sebagai ‘senjata’ untuk membunuh rakyat Palestin, dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak."Dunia hanya memerhati. Dunia tidak boleh berbuat apa-apa kerana takut dengan reaksi AS yang dilihat bersedia untuk menghukum mana-mana negara yang cuba membantu rakyat Palestin yang tenat. AS menyokong strategi kebuluran oleh Israel untuk membunuh."Satu-satunya negara yang boleh campur tangan juga AS, tetapi jelas mereka tidak akan berbuat demikian, sebaliknya campur tangan dilakukan ialah dengan menyebelahi Israel."Kita perlu pasukan penjaga keamanan untuk melindungi rakyat Palestin di Gaza daripada tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Israel dan AS. Raksasa ini mesti dihentikan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.Menurut laporan media antarabangsa, angka terkini menunjukkan seramai 134 rakyat Palestin, termasuk 88 kanak-kanak, meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan sejak 7 Oktober 2023.Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memberi amaran bahawa kadar kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun meningkat dua kali ganda antara Mac dan Jun, akibat sekatan berterusan.