Bawa dari Johor Bahru, bunuh di Negeri Sembilan

SEREMBAN - Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang mayatnya ditemui ditanam di Rompin, Jempol pada 28 Julai lalu telah dibawa dari Johor Bahru sebelum dibunuh di satu lokasi di Negeri Sembilan.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, suspek dipercayai memilih untuk menanam mangsa di kawasan belukar di lokasi terbabit kerana mengetahui kawasan itu sunyi."Suspek dipercayai sudah terbiasa dengan kawasan berkenaan kerana dikatakan kerap melalui jalan itu."Tetapi kita masih menyiasat lokasi sebenar mangsa dibunuh, dan yang pastinya, mangsa dibunuh di Negeri Sembilan, bukannya di Johor Bahru," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan lanjut mengenai motif pembunuhan.Mengulas mengenai tempoh reman, beliau berkata, suspek masih dalam tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol sehingga 7 Ogos ini."Buat masa ini, tempoh reman belum tamat dan kita akan cuba segera menyiapkan kertas siasatan."Sekiranya ada keperluan untuk melanjutkan tempoh reman bagi tujuan melengkapkan siasatan, permohonan akan dibuat," katanya.Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, pada 24 Julai lalu, ditemukan ditanam di kawasan Rompin, Jempol.Susulan penemuan itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.Difahamkan, suspek sebelum ini membuat laporan polis dengan mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan di dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.Hasil bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak lelaki itu mendapati mangsa maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.