Insiden kebocoran gas: Tiada layanan dua darjat bantuan baik pulih rumah - Amirudin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menolak dakwaan kononnya wujud layanan dua darjat dalam pemberian bantuan baik pulih rumah kepada mangsa di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru susulan tragedi letupan paip gas sebelum ini.Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kadar bantuan tersebut ditentukan berdasarkan tahap kerosakan rumah dan bukan semata-mata berdasarkan lokasi kejadian."Memang kita ada tiga kategori bantuan rumah iaitu rosak teruk hingga RM300,000, pembaikan sederhana RM60,000 dan satu lagi kategori di antara dua tahap tersebut."Kalau rumah itu cuma rosak sedikit, walaupun terletak di Putra Heights harga siling tetap RM60,000. Jadi kalau ada dakwaan kononnya siling di Putra Heights lebih tinggi berbanding Kampung Kuala Sungai Baru, itu tanggapan liar," katanya.Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Negeri Selangor yang dikendalikan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Ballroom, Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Isnin.Amirudin menjelaskan, berdasarkan laporan terkini oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), kerja pembaikan di Kampung Kuala Sungai Baru berjalan lebih cepat berbanding Putra Heights yang ketika ini baharu mencapai tahap siap sekitar 22 hingga 24 peratus."Saya maklumkan dalam Sidang DUN sebelum ini, kerja-kerja itu dijangka siap sekitar Oktober, tapi kita akan semak semula sekiranya ada aduan berhubung proses yang berjalan perlahan," tambah beliau.Terdahulu, media melaporkan bahawa Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru berharap kerajaan memperhalusi dan menyemak semula harga siling kos baik pulih rumah yang terjejas dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, April lalu.Pengerusinya, Baharudin Yusof dipetik mendakwa wujud jurang perbezaan harga siling baik pulih rumah di bawah seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), iaitu RM60,000 bagi Putra Heights dan RM30,000 bagi Kampung Kuala Sungai Baru menyebabkan penduduk merasa terkilan dan terpinggir.Menyentuh isu bayaran bantuan sewa rumah kepada mangsa terjejas, Amirudin memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan bayaran tersebut hingga tempoh enam bulan."Bayaran sewa untuk tiga bulan pertama sudah disalurkan dan kita akan sambung untuk tiga bulan berikutnya."Mungkin ada sedikit kelewatan kerana senarai nama perlu disahkan terlebih dahulu, tapi bantuan tetap akan diteruskan," katanya.