KUALA LUMPUR - Polis akan meminta bantuan Meta Platforms Inc. (Meta) di Singapura untuk mengesan pemilik akaun media sosial Threads yang didakwa membuat hantaran berunsur fitnah dan provokatif terhadap seorang pelakon dan penyanyi lelaki terkenal.Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, beliau telah mengarahkan pegawai penyiasat untuk berhubung dengan Meta bagi mengesan pemilik akaun media sosial itu."Kita juga akan meminta bantuan Bahagian Siber Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk mengesan alamat protokol internet (IP) pemilik laman sosial itu."Siasatan kes ini masih dijalankan dan keterangan empat saksi telah kita ambil," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.Sebelum ini, media melaporkan siasatan polis berkaitan kes itu sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, pihaknya sudah meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti pemilik akaun media sosial 'Threads' yang terlibat.Pada 18 Julai lalu, pelakon dan penyanyi terkenal itu membuat laporan polis berhubung satu hantaran berunsur fitnah dan provokasi yang didakwa dimuat naik di platform media sosial Threads.Polis menerima laporan dibuat oleh artis lelaki terbabit pada jam 4.12 petang.Laporan polis itu dibuat susulan rasa tidak puas hati beliau terhadap hantaran pemilik akaun Threads yang didakwa mengandungi unsur fitnah, provokasi dan hasutan serta disebarkan secara umum.Kes dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.