Dua maut tercampak dalam nahas tiga lori di Slim River

TANJUNG MALIM - Dua maut manakala dua lagi cedera selepas lori muatan telur dinaiki terbabit dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 372.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Slim River pada Isnin.Dalam kemalangan sekitar jam 12.15 tengah hari itu, S Alexander Silvam, 31, dan N Periasamy, 26, masing-masing penumpang hadapan dan belakang lori meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan.Dua lagi rakan mereka, Ariff Aiman Ariffin, 26, dan pemandu, Bastian Abas, 44, mengalami luka di muka dan koyak di bahagian kepala telah dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Mohamad berkata, nahas membabitkan sebuah lori muatan telur ayam, treler muatan simen dan sebuah lagi lori kontena berlaku akibat pelanggaran dari arah belakang."Siasatan awal mendapati lori dinaiki mangsa dari arah Ipoh ke Seremban telah melanggar bahagian kanan belakang treler yang berhenti di lorong susur masuk ke tol Slim River."Pelanggaran turut mengenai bahagian sisi kiri lori kontena yang sedang bergerak di lorong tengah," katanya dalam kenyataan di sini.Beliau berkata, akibat perlanggaran, lori mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala pagar kargo pecah.Katanya, treler muatan simen pula rosak di bahagian pagar belakang dan lori kontena mengalami calar dan kemek di sisi kiri."Pemandu treler dan pemandu kontena berusia 40 dan 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas berkenaan."Semakan mendapati ketika kejadian, keadaan jalan dilaporkan kering dan cuaca cerah. Ketiga-tiga kenderaan yang terlibat juga memiliki lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans yang masih sah tempoh," katanya.Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Susulan kejadian itu, dua lorong utama iaitu lorong kiri dan tengah terhalang sepenuhnya menyebabkan aliran trafik sesak sepanjang hampir 7 kilometer.