SUBANG – [DIKEMAS KINI] Enam lokasi di negara ini direkodkan mengalami suhu panas luar biasa selama tiga hari berturut-turut sehingga 3 Ogos lalu.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara lokasi utama terjejas teruk melibatkan tiga daerah di Semenanjung dan tiga lagi di daerah Sabah serta Sarawak. "Terdapat tiga daerah utama yang sedang mencatatkan suhu terpanas selama tiga hari berturut-turut iaitu Bandar Baru di Kedah, Selama (Perak), Temerloh (Pahang)."Sementara itu di Sarawak pula berlaku kepanasan luar biasa di Limbang sementara di Tenom dan Pitas, Sabah. Kepanasan agak luar biasa ini daripada 35 hingga mencapai 37 darjah celsius," katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini pada Isnin.Ahmad Zahid berkata, susulan situasi tersebut, kerajaan telah melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan Empangan Bukit Merah, Gunung Semanggol, Perak yang kini berada pada tahap kritikal.Menurutnya, paras takungan air di empangan itu hanya 12.21 peratus atau 19.80 kaki, sekali gus menjejaskan ribuan penduduk serta sektor pertanian dan industri di kawasan sekitar."Saya bersama Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menyertai operasi ini menggunakan pesawat Charlie C-130 yang membawa kira-kira 6,000 liter larutan natrium klorida."Larutan itu disembur pada awan kumulus menara pada altitud antara 5,000 hingga 8,000 kaki dan dalam tempoh 45 minit selepas semburan, hujan lebat telah berlaku di kawasan sasaran," katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Udara TUDM Subang, pada Ahad.Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menjelaskan, usaha itu bukan sahaja bersifat reaktif tetapi satu pelaburan jangka panjang dalam menghadapi kesan perubahan iklim dan cuaca ekstrem."Empangan Bukit Merah bukan sekadar pembekal air domestik malah menyokong kegiatan pertanian, perikanan, pelancongan dan mitigasi banjir."Jika tidak ditangani segera, krisis ini boleh menjejaskan rantaian bekalan makanan, pendapatan penduduk luar bandar serta keseimbangan ekosistem," katanya.Menurutnya, selain masalah kekurangan air, fenomena cuaca panas melampau turut meningkatkan risiko jerebu akibat pembakaran hutan apabila taburan hujan yang rendah gagal menyingkirkan zarah terampai dalam atmosfera."Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat di beberapa kawasan dan ini memberi kesan kepada kesihatan, terutamanya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta pesakit pernafasan," katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi pembenihan awan juga akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan di kawasan lain bergantung kepada pemantauan agensi teknikal, meskipun tanpa permintaan rasmi daripada kerajaan negeri."Kami tidak hanya menunggu permintaan. Jika sesuatu kawasan berada pada paras kritikal iaitu 30 peratus ke bawah, pembenihan awan akan terus dilaksanakan secara proaktif."Selain itu, pihak bomba juga telah bersiap siaga di lebih 3,300 perigi tiub di kawasan tanah gambut bagi mencegah kebakaran hutan akibat cuaca panas melampau," katanya.Jelasnya, Monsun Barat Daya dijangka berterusan sehingga pertengahan Oktober dan semua agensi berkaitan telah diarahkan untuk bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan."Saya minta Jabatan Kesihatan, MetMalaysia dan NADMA sentiasa memberi penjelasan kepada rakyat."Pada masa sama, aktiviti luar bilik darjah di sekolah juga perlu dijadualkan semula dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah bagi mengelak risiko kesihatan kepada murid," katanya.Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk NADMA, MetMalaysia dan TUDM atas kejayaan operasi tersebut yang disifatkan sebagai bukti komitmen kerajaan untuk bertindak berdasarkan sains dan data."Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada kawasan tadahan air, keperluan domestik, industri serta pertanian sebagai keutamaan negara dalam menjamin keselamatan makanan dan kesejahteraan rakyat," katanya.