[VIDEO] Isu bendera terbalik jangan dipolitikkan – Anthony Loke

SEREMBAN -Isu kesilapan pemasangan Jalur Gemilang oleh sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson baru-baru ini tidak sepatutnya dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak.Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, siasatan berhubung insiden tersebut kini sedang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengenal pasti sama ada ia dilakukan secara sengaja atau sebaliknya."Setiap kali apabila adanya isu seperti ini (kesilapan memasang Jalur Gemilang), sudah tentu ada orang yang cuba mempolitikkan perkara tersebut."Tapi saya rasa itu satu kesilapan, dan saya serahkan kepada pihak KPM yang sedang menjalankan siasatan, sama ada ia disengajakan atau tidak."Jadi, tak perlulah mana-mana pihak cuba mengambil peluang untuk mempolitikkan isu-isu seperti ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kemerdekaan Peringkat Parlimen Seremban di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chan Wa, di sini pada Isnin.Ahli Parlimen Seremban itu turut menegaskan bahawa semua pihak seharusnya lebih berhati-hati ketika mengibarkan Jalur Gemilang supaya tidak berlaku kesilapan seumpama itu."Kita sememangnya memberi peringatan kepada semua orang supaya apabila kita kibarkan Jalur Gemilang, kibarkan secara betul dan dengan hormat. Mesti ada sensitiviti."Tapi kadangkala berlaku kesilapan yang mungkin tidak disengajakan, dan kita serahkan kepada KPM untuk menjalankan siasatan," katanya.Selain itu, katanya, Jalur Gemilang merupakan lambang identiti negara yang seharusnya dijaga dengan penuh bangga dan hormat.Tambahnya, sempena Bulan Kebangsaan, semua pihak seharusnya menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan memupuk semangat cintakan negara bermula dari peringkat sekolah.Sebelum ini, media melaporkan SJKC Chung Hua memohon maaf kepada seluruh masyarakat kerana kesilapan memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sekolah terbabit pada 1 Ogos lalu.Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah dalam kenyataan mereka turut menyatakan kekesalan atas insiden tersebut dan memaklumkan bahawa kesilapan telah pun dibetulkan.