Bendera terbalik dipasang OKU, ADUN Lukut mohon henti sensasikan isu

SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Pekerja yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson baru-baru ini merupakan orang kurang upaya (OKU).Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa (DAP) berharap isu tersebut tidak lagi diperbesarkan."Mohon mencelah sedikit, saya yang turun sendiri pada hari kejadian berlaku kerana saya menyelaras program antara ahli Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan pihak sekolah itu."Hal ini berlaku kerana pihak guru besar melibatkan seorang pekerja OKU akal (mental) dan dia yang memasang bendera di sekitar sekolah."Dia menggunakan bendera yang lama, dan apabila memasangnya, ia dipasang secara terbalik. Selepas dimaklumkan oleh orang ramai, dalam tempoh dua jam bendera tersebut telah diturunkan," katanya pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 di sini pada Isnin.Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN–Jeram Padang) berkenaan isu Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di sebuah SJKC di Port Dickson.Tambah Ken Hwa, kesilapan pemasangan Jalur Gemilang itu bukanlah disengajakan dan beliau berharap agar ia tidak terus ditularkan."Saya rasa ini satu kesilapan kecil dan boleh dimaafkan. Datuk Yang Dipertua (Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman), saya harap isu ini tidak diviralkan lagi kerana saya sendiri yang turun padang menyelaraskan isu ini," katanya.Sebelum ini, media melaporkan pihak sekolah terbabit telah memohon maaf kepada seluruh masyarakat atas kesilapan yang berlaku.Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta pihak sekolah berkenaan dalam kenyataan mereka turut menyatakan kekesalan terhadap kesilapan tersebut dan telah pun membetulkannya.