Cubaan ragut gagal, suspek diberkas orang awam

SHAH ALAM – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas cubaan meragut seorang lelaki di Jalan Setia Prima H U13/H, Setia Alam gagal apabila mangsa bertindak melawan sehingga menyebabkan suspek terjatuh dari motosikal yang ditungganginya.Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku pada jam 7.07 malam, Ahad, apabila suspek berusia 30 tahun menunggang motosikal Yamaha 135LC menggunakan nombor pendaftaran palsu."Suspek dipercayai cuba meragut mangsa berusia 37 tahun, namun gagal kerana lelaki itu melawan sehingga menyebabkan suspek terjatuh."Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh orang awam yang membantu di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Tambah beliau, polis turut merampas sebuah motosikal, anak kunci dan pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian."Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terlibat dalam dua kes ragut lain yang disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.Mohd Iqbal berkata, suspek direman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan."Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan terbuka atau berjalan kaki di tepi jalan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini," ujarnya.