KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini perlu menjadikan tilawah dan tadabbur al-Quran sebagai budaya hidup, bukan sekadar acara tahunan yang bersifat simbolik.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha memperkasa budaya hidup bersama al-Quran mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja petah membaca, tetapi memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian."MTHQA#QuranHour yang diadakan bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa (MTHQA) 2025 menjadi medan menyuburkan cinta kepada al-Quran dan menyebarkan ketenangan yang lahir daripada kalam Tuhan."Kita tidak cukup hanya dengan hafalan atau bacaan yang indah, tetapi perlu melahirkan generasi yang menghayati dan menterjemahkan isi al-Quran dalam pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan perpaduan masyarakat," katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ‘Pesan Tokoh’ pada majlis tersebut di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), di sini pada Isnin.Antara personaliti al-Quran yang menyertai MTHQA#QuranHour 2025 ialah Fazrul Ismail dan Dr Shafiq Sahimi selaku pentadabbur, Ustaz Tirmizi Ali (Johan Qari MTHQA 2014), Ustaz Husaini Mahmur, Ustaz Amirahman Abas (Johan Qari MTHQA 2011) serta Syeikh Mo’min Falah dari Palestin.Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama strategik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Sinar Harian itu mengangkat tema Membangun Ummah Madani, dengan menjadikan surah al-Saff sebagai rujukan utama.Menurutnya, surah itu membawa mesej bahawa keberhasilan perjuangan Islam bukan hanya bergantung kepada slogan, tetapi terletak pada kejujuran kata, keberanian bertindak dan kesatuan saf."Surah ini juga memaparkan wajah umat Madani yang berpegang teguh kepada prinsip wahyu, sepertimana golongan Hawariyyun yang menjadi pendukung setia Nabi Isa AS," katanya.Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan terus menyokong usaha memperluaskan kempen #QuranHour ke peringkat dunia selari dengan mesej universal yang ingin dibawa melalui wahyu Ilahi."Dengan dukungan kerajaan, kita akan perhebatkan lagi usaha menyampaikan mesej bahawa al-Quran bukan hanya untuk dibaca, tetapi perlu difahami dan diaplikasikan dalam kehidupan," katanya.Mohd Na’im berkata, kempen #QuranHour membawa pendekatan baca, faham dan amal yang berupaya membina insan berbudi dan penyayang, dengan menjadikan al-Quran sebagai sistem operasi dalam membangunkan negara dan dunia.Tambahnya, MTHQA#QuranHour 2025 menjadi platform penyatuan ummah, sekali gus membentuk watak insan Qurani yang hidup dengan ilmu, berpaksikan nilai dan menyebarkan rahmat ke seluruh alam."Kita ingin lahirkan pendidik yang menjadikan al-Quran sebagai landasan ilmu, pemimpin yang membentuk dasar berasaskan nilai wahyu, ahli ekonomi yang memperjuangkan keadilan dan keberkatan, serta anak muda yang menjadikan al-Quran sebagai kompas kehidupan."Beliau turut menzahirkan harapan agar program itu menjadi titik mula kepada gerakan ummah yang lebih tersusun, berpandukan nilai-nilai al-Quran dan berwawasan demi membina sebuah peradaban dunia yang sejahtera dan diredai ALLAH SWT.