Lelaki OKU mental hilang sejak Jumaat

AMPANG – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dilaporkan hilang sejak empat hari lalu di Kampung Warisan di Taman Melawati di sini masih belum ditemui hingga kini.Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan lelaki yang dikenali sebagai Norhafsham Nazri, 43, pada Sabtu, daripada bapanya berusia 69 tahun."Pengadu memaklumkan bahawa beliau telah menghantar anaknya ke Kampung Warisan, pada jam 2.30 petang Jumaat untuk berehat, namun hingga jam 9.30 malam pada hari yang sama, anaknya itu tidak pulang ke rumah."Pengadu kemudian pergi ke lokasi terbabit untuk mencari anaknya namun gagal, sebelum tampil membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Mohd Azam berkata, susulan laporan itu polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon 4 Hulu Langat melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung, sukarelawan dan Malim Gunung dari Jabatan Perhutanan Selangor."Norhafsham merupakan OKU mental yang disahkan sejak 2022. Ketika dilaporkan hilang, mangsa dipercayai memakai baju-T bercorak hitam dan merah, seluar jean gelap, kasut sukan dan membawa beg galas berwarna hitam."Pencarian awal pada Sabtu lalu menemukan beg galas dipercayai milik mangsa di laluan pendakian Bukit Tabur. Justeru itu, SAR kini tertumpu di kawasan tersebut serta sekitar Hulu Sungai Klang," katanya.Beliau berkata, operasi SAR turut disertai Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pasukan sukarelawan."Polis juga telah menubuhkan Pos Kawalan di lokasi kejadian bagi menyelaras gerak kerja pencarian."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkan maklumat kepada Balai Polis Taman Melawati," katanya.