Ab Rahaman dilantik Ketua Polis Johor

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Komisioner Ab Rahaman Arsad dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu menggantikan Datuk M Kumar yang kini mengambil alih jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.Ab Rahaman, 58, sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Penjawatan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, memulakan tugas rasminya selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Isnin.Majlis tersebut turut disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.Kumar, 56, yang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Johor sejak 24 Januari 2024 bakal menjawat jawatan baharu sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman.Ab Rahaman yang berasal dari Kulai, Johor, memulakan kerjaya dalam pasukan polis pada tahun 1989 dan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Pengurusan di IPK Negeri Sembilan dan Kedah.Sementara itu, Kumar yang memulakan khidmat dalam PDRM pada 1 Disember 1991 sebagai Inspektor, pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua JSJ Johor, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan dan Ketua Polis Daerah Mersing.Pada majlis yang sama, turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Johor antara Datin SP Shanthi dan Salwah Mahdan, yang disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan, Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim.Sementara itu, Ab Rahaman mengakui bersedia menggalas tanggungjawab menerajui kontinjen negeri ini dan berdepan pelbagai cabaran, termasuk keselamatan, jenayah rentas sempadan, isu ekonomi dan sosial yang memberi impak langsung terhadap tugas-tugas kepolisan."Kita bersempadan dengan Singapura dan berjiran pula dengan Indonesia. Jadi, selain keselamatan, kita juga berdepan cabaran dalam aspek ekonomi dan sosial yang turut melibatkan peranan polis secara langsung."Saya tak nafikan, Johor ini satu cabaran besar untuk saya. Tapi sebagai pegawai polis, kita sentiasa bersedia bila diarahkan. Ini amanah yang saya terima dan saya akan laksanakannya sebaiknya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Isnin.Ab Rahaman yang berasal dari Kulai memberitahu, beliau tidak pernah berkhidmat di Johor sepanjang perkhidmatannya sebelum ini, sebaliknya banyak bertugas di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.Kini, ujarnya, dengan pengalaman luas di peringkat pusat, beliau bertekad membawa pendekatan kepimpinan tersendiri dalam mendepani cabaran negeri berkenaan."Antara fokus utama ialah memperkukuh perkhidmatan kepolisan yang profesional dan berintegriti."Tiga misi utama saya ialah memastikan perkhidmatan kepolisan berkualiti, memperkukuh tadbir urus yang baik serta menjaga kebajikan warga PDRM di Johor," katanya.Menurut beliau, cabaran narkotik dan jenayah sempadan akan terus diberi perhatian, selain memperkenalkan prinsip kepimpinan dikenali sebagai ‘GREAT’.Katanya, prinsip ‘GREAT’ yang merangkumi Good Governance, Responsible, Empathy, Accountability dan Tendency of Purpose akan diterapkan dalam setiap aspek pengurusan PDRM di negeri ini."Ini nilai asas yang saya pegang untuk memastikan kontinjen Johor benar-benar berfungsi sebagai pasukan yang diyakini rakyat," ujarnya.