50 pegawai JIM terlibat sindiket 'phantom travel' disiasat SPRM

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan 50 pegawainya sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan penglibatan dalam sindiket 'phantom travel'.Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menegakkan budaya kerja berintegriti tinggi dan profesional."Seramai 50 pegawai sedang disiasat SPRM atas dakwaan penglibatan dalam sindiket phantom travel iaitu satu bentuk manipulasi sistem imigresen yang bukan sahaja mencemarkan kredibiliti jabatan, malah mengancam keselamatan negara."Prinsip utama JIM ada zero tolerance terhadap mana-mana salah laku rasuah dan tiada sebarang ruang untuk kompromi melibatkan perkara ini," katanya.Beliau berkata demikian ketika merujuk jawapan Menteri Dalam Negeri di Parlimen pada Isnin berkaitan pendirian tegas JIM terhadap isu integriti dalam kalangan warga jabatan.Jelasnya, seramai 26 pegawai telah dibuang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan rasuah."Mereka yang dikenakan tindakan ini termasuk kes yang berlaku di pintu masuk utama negara melibatkan di KLIA tahun lalu."Secara langsung, rekod menunjukkan peningkatan berbanding hanya lapan pegawai pada tahun 2023, ia menunjukkan ketegasan JIM dalam melaksanakan tindakan tatatertib secara adil, berprinsip dan tidak memilih bulu," katanya.Dalam pada itu, Zakaria berkata, tanggungjawab operasi imigresen di pintu-pintu masuk utama negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 telah dipindahkan sepenuhnya kepada Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) sejak 1 Februari lalu."Selaras dengan pemindahan tanggungjawab ini, semua urusan berkaitan integriti pegawai yang bertugas di pintu masuk termasuk siasatan dan tindakan tatatertib kini turut berada di bawah pemantauan AKPS."JIM akan terus memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada AKPS dalam memastikan prinsip integriti yang sama terus ditegakkan tanpa sebarang kompromi," katanya.