Lelaki ceroboh rumah ditahan selepas patah balik ambil barang tertinggal

BALIK PULAU - Tindakan seorang lelaki menceroboh sebuah rumah terbongkar apabila dia kembali ke lokasi kejadian untuk mengambil barang yang tertinggal, sebelum berjaya ditahan penghuni kediaman terbabit bersama beberapa rakannya.Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang pada 4 Ogos lalu dan tular menerusi satu hantaran video di akaun Facebook ‘Amigos Media Viral’."Suspek dipercayai memasuki rumah berkenaan melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar untuk membuang sampah."Bagaimanapun, kehadiran suspek disedari penghuni rumah menyebabkan suspek melarikan diri. Namun tidak lama selepas itu, dia kembali ke rumah tersebut untuk mengambil barang yang tertinggal," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.Tambah beliau, ketika suspek berpatah balik, dia berjaya ditahan oleh pengadu bersama beberapa rakannya sebelum diserahkan kepada anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) yang bertugas di Zon 3 Batu Maung."Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine."Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah," ujarnya.Sazalee berkata, suspek kini ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau pada Selasa bagi permohonan reman."Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan."Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan pintu dan tingkap kediaman dikunci dengan baik serta sistem keselamatan berada dalam keadaan berfungsi bagi mengelakkan kejadian jenayah," katanya lagi.