TEMERLOH - Seorang lelaki yang memiliki 44 rekod jenayah lampau berjaya ditahan polis selepas cuba melarikan diri dalam satu operasi di Jalan Tengku Ismail di sini pada Isnin.Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang menjalankan Op Cegah Jenayah kira-kira jam 10.35 pagi."Semasa rondaan, anggota terlibat ternampak sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max dalam keadaan mencurigakan berhenti di hadapan sebuah premis."Apabila anggota memperkenalkan diri sebagai polis, suspek berusia 35 tahun itu bertindak agresif dan melarikan diri dengan memandu secara melulu sebelum terbabas di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.Menurutnya, suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan di lokasi kejadian."Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan individu dikehendaki bagi dua kes lampau iaitu di Sitiawan di bawah Seksyen 43(4) Akta Penjara dan di Bentong di bawah Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan," katanya.Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam but kenderaan menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel seperti tali sawat, alat pembuka lubang pembetungan, besi cangkuk, tukul besi dan sarung tangan.Katanya, turut ditemui sejumlah dadah iaitu 346 biji pil disyaki yaba dengan anggaran berat 34.87 gram dan satu peket ketulan kristal disyaki syabu seberat 3.03 gram."Turut dirampas, sebuah trak pikap berwarna hitam yang disyaki kenderaan curi berdasarkan semakan nombor casis dan enjin, dan disenarai hitam bersabit kes di Kota Bharu mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan."Ujian saringan air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine," tambahnya.Jelasnya lagi, hasil siasatan, suspek turut mengaku terlibat dalam kes curi kabel di beberapa lokasi termasuk di Kuala Lumpur, Selangor, Jerantut dan Maran pada Februari lalu.Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(a)(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.