SHAH ALAM – Nafkah sementara menjadi sinar perlindungan dan keadilan buat isteri yang tidak bekerja atau tiada sumber pendapatan, sementara menunggu kes induk nafkah diselesaikan di Mahkamah Syariah.Nafkah sementara itu diperuntukkan di bawah Seksyen 70 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) yang terpakai di Wilayah Persekutuan, manakala negeri-negeri lain tertakluk di bawah Seksyen 71 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam masing-masing.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perintah tersebut boleh dikeluarkan oleh mahkamah terhadap suami sekiranya mahkamah berpuas hati bahawa terdapat alasan yang munasabah dan mencukupi bagi isteri menerima nafkah menurut Seksyen 70(1).Beliau berkata, nafkah sementara berperanan membantu kelangsungan hidup isteri sepanjang tempoh perbicaraan yang lazimnya memakan masa antara enam hingga tujuh bulan."Isteri yang tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan pasti berdepan kesukaran menyara dan meneruskan kehidupan seharian."Jika dia tidak mendapat nafkah daripada suami, bagaimana dia hendak membeli makanan untuk kelangsungan kehidupannya setiap bulan?"Justeru, isteri berhak untuk memohon kepada mahkamah agar dikeluarkan satu perintah dinamakan perintah nafkah sementara," katanya.Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Kelas Bacaan dan Pemahaman Akta – Jangan Tertindas: Ketahuilah Hak Nafkah Sementara dan Tempat Tinggal Anda di Facebook beliau pada Isnin.Mohd Na’im menjelaskan bahawa jumlah nafkah sementara biasanya tidak sama dengan amaun yang dituntut dalam kes induk.Bagaimanapun, katanya, sekiranya isteri menuntut RM1,000 sebulan dalam kes induk, mahkamah lazimnya tidak akan memberikan jumlah yang sama bagi nafkah sementara supaya tidak dilihat mendahului keputusan kes utama.Sebagai contoh, mahkamah boleh memerintahkan suami membayar RM500 sebulan, sekiranya berpuas hati dengan alasan yang dikemukakan.Menurutnya, antara alasan kukuh yang boleh meyakinkan mahkamah termasuklah wujudnya akad nikah yang sah antara suami isteri serta tiada sabitan nusyuz terhadap isteri."Perintah nafkah sementara itu berkuat kuasa serta-merta selepas dikeluarkan mahkamah dan tidak perlu menunggu sehingga kes induk selesai sepenuhnya," ujarnya.Tambah beliau, perintah tersebut akan berjalan setiap bulan sehingga mahkamah mendengar keseluruhan kes dan mengeluarkan keputusan akhir berkenaan jumlah nafkah sebenar yang perlu dibayar oleh suami.Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Seksyen 70(2) pula memperuntukkan bahawa suami boleh melaraskan nafkah sementara yang dibayar dengan amaun yang diperintah untuk dibayar sebagai nafkah tetap, dengan syarat amaun yang diterima oleh isteri mencukupi untuk keperluan asasnya.