Lima emas Qurratu'Ain buktikan komitmen biarpun berdepan tekanan SPM

PEMAIN boling muda negara, Qurratu'Ain Izdihar Mohd Pozi berdepan cabaran 'berganda' apabila perlu menyesuaikan diri dengan latihan intensif bagi memenuhi sasaran podium ditetapkan jurulatih, pada masa sama perlu bersedia menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.Baru menyertai skuad kebangsaan Januari lepas, anak jati Selangor itu membuktikan prestasi luar biasa apabila berjaya menamatkan kempen di Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha dengan lima pingat emas, pencapaian peribadi terbaik sejak mula mengenali sukan itu pada usia tujuh tahun."Alhamdullilah, saya sangat bersyukur dan tak percaya dapat lima emas daripada tujuh yang dipertandingkan kerana semua acara mencabar tapi dengan bantuan jurulatih saya kekal konsisten dan fokus pada permainan. Keluarga juga selalu menyokong permainan saya."Bagi saya perkara yang sedikit sukar adalah untuk menyeimbangkan antara pelajaran dan kejohanan kerana sekarang musim peperiksaan percubaan SPM. Jadi selepas memenangi pingat emas ini, saya rasa nak fokus pada kedua-duanya, iaitu akademik dan latihan untuk kejohanan," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.Qurratu'Ain Izdihar berkata, bersama rakan sepasukan, dia menjalani latihan intensif dua jam masing-masing pada pagi dan petang tanpa henti selama dua minggu berturut-turut sebelum berlepas ke kejohanan tersebut, bagi meningkatkan asas kekuatan fizikal dan mental.Justeru, dia merasakan kejayaan ini bukan sekadar trofi peribadi tetapi tanda penghargaan buat semua yang menyokong terutama keluarga dan barisan kejurulatihan yang percaya kepada bakatnya hingga mampu melangkah sejauh ini.Ditanya mengenai harapan ke temasya Sukan SEA Thailand 2025, atlet berusia 17 tahun itu tidak menafikan ia impian setiap atlet namun setakat ini namanya belum tersenarai.Sebaliknya, Qurratu'Ain Izdihar bakal beraksi di Kejohanan Remaja Asia pada bulan ini di Sunway Megalanes dan berharap dapat mengekalkan momentum cemerlang yang diraih di Doha."Saya harap tersenarai ke sukan SEA namun buat masa sekarang fokus latihan. Insya-Allah kalau boleh (mahu emas lagi)," katanya.Skuad remaja negara secara keseluruhan meraih tujuh pingat emas, satu perak dan lima gangsa pada Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha. - Bernama