SHAH ALAM – Inisiatif kerajaan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam mencapai objektif kajian Sistem Profiling Dadah Malaysia (MyDPS) diyakini mampu menambah baik serta membantu menentukan hala tuju pencegahan dan pemulihan dadah negara.Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menetapkan tempoh enam bulan hingga Disember ini bagi melengkapkan kajian pertama MyDPS dalam usaha mengetahui tahap keseriusan masalah dadah di seluruh negara."Apa yang membanggakan ialah kerajaan kini sudah mula menerapkan penggunaan AI dalam mencapai objektif ini."Ini merupakan satu inisiatif baharu oleh kerajaan yang melibatkan AI dalam membantu menentukan hala tuju pencegahan dan pemulihan dadah negara, sekali gus menambah baik program yang sedang dilaksanakan sekarang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, isu penyalahgunaan dadah perlu diberikan penekanan serius menjelang tahun ini.Katanya, ini berikutan masih tiada penyelesaian tuntas yang mampu mencegah penyalahgunaan dadah secara menyeluruh."Dadah masih menjadi masalah sosial yang memberi impak negatif kepada masyarakat."Walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dijalankan, pelbagai usaha diambil dan perbelanjaan melibatkan jutaan ringgit digunakan, namun penyelesaian yang dicari untuk membanteras najis dadah masih belum ditemui. Kesannya, golongan belia masih menjadi mangsa najis dadah yang semakin membimbangkan," ujarnya.Tambah beliau, sejak tahun 1980-an, dadah telah menjadi musuh utama negara."Hingga kini, masih belum kelihatan jalan penyelesaian yang konkrit bagi mengekang masalah ini," katanya lagi.Jelasnya, adalah diharapkan dengan adanya AI sebagai inisiatif tambahan, negara dapat memerangi dadah dengan lebih efisien.Jun lalu, media melaporkan Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kajian terperinci itu telah dimulakan pada Mei dan dapatan kelak akan lebih mudah diakses berbanding kaedah pengumpulan data secara manual sebelum ini.Data MyDPS akan membantu negara mengenal pasti trend penyalahgunaan dadah serta meramal perkembangannya pada masa hadapan, sekali gus memudahkan usaha pencegahan secara bersasar mengikut demografi dan sosioekonomi sesuatu kawasan.Projek ini dijalankan bersama Pusat Geospatial Negara di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, yang membolehkan AADK mengumpul serta menganalisis data berkaitan penyalahgunaan dadah bagi merancang dan melaksanakan intervensi yang lebih tepat dan berfokus.