RMK13: Lima projek mega di Perak terus jadi tumpuan

IPOH – Lima projek mega yang diumumkan menerusi pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu dijangka terus menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi negeri Perak. Projek-projek berimpak tinggi itu merangkumi pembangunan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) serta Taman Perindustrian Halal Perak (Perak HIP).Kesemua inisiatif itu memperkukuhkan lagi pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang memberi penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi, kelestarian alam, jaringan logistik dan pemerkasaan industri halal."Bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi domestik, pelaburan melalui kerjasama strategik dengan pihak industri terus diperkukuh. Tumpuan pembangunan turut diperluas di AHTV di negeri Perak."Pelaburan berimpak tinggi akan diperluas ke luar kawasan tumpuan utama, seperti pembangunan di KIGIP dan LuMIC," ucap Anwar ketika pembentangan RMK13 pada Khamis.KIGIP yang akan dibangunkan di daerah Kerian dilihat seiring dengan usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan zon industri mesra alam dengan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Projek itu dijangka menarik pelaburan dalam sektor teknologi hijau dan menyumbang kepada agenda perindustrian rendah karbon seperti yang digariskan dalam teras kelestarian Pelan Perak Sejahtera 2030.Sementara itu, AHTV di Tanjung Malim dijangka menjadi hab automotif masa depan negara dengan fokus terhadap pembangunan kenderaan elektrik (EV) selari dengan kedudukannya yang strategik di selatan Perak sekali gus menjadikannya tapak sesuai bagi pelaburan asing berskala besar.Turut tersenarai sebagai antara projek tumpuan RMK13 ialah pembangunan LuMIC yang menempatkan Kompleks Terminal Penggasan Semula Ketiga. Fasiliti itu penting bagi memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga negara dan memperkasakan keupayaan sektor maritim, logistik dan pembinaan kapal di kawasan pesisir barat Perak.Dalam masa sama, Perak turut melakar langkah ke hadapan apabila Perak HIP merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh sektor pemprosesan makanan, eksport halal dan keusahawanan berteraskan syariah. Selain empat kawasan perindustrian tersebut, RMK13 turut memperlihatkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk mempercepat pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) bagi memantapkan ekosistem dan mempergiat aktiviti sepanjang rantaian nilai mineral tersebut.Secara keseluruhannya,  pengumuman projek-projek besar buat  Perak dalam RMK13 bukan sahaja  memperkukuh jaringan ekonomi negeri,  malah turut menyokong aspirasi  menjadikan Perak sebagai negeri  berdaya saing, progresif dan sejahtera  menjelang 2030.