Jalur Gemilang terbalik: Sekolah, KPM tidak boleh lepas tangan - Akmal Saleh

SHAH ALAM – Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak sekolah yang didakwa membenarkan seorang pekerja orang kurang upaya (OKU) memasang Jalur Gemilang secara terbalik tanpa sebarang pengawasan.Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melepaskan tanggungjawab pihak pengurusan sekolah dalam insiden yang menyentuh sensitiviti patriotisme."Kenapa pekerja OKU diberikan tanggungjawab memasang bendera jika sudah tahu dia adalah seorang OKU dan bukannya pekerja lain?""Kita tidak mahu alasan OKU atau orang kurang siuman menjadi alasan utama lagi jika perkara ini berulang kembali," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.Pada Sabtu lalu, media melaporkan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua telah memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat melalui satu kenyataan yang dikongsikan oleh Lembaga Pengelola serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), susulan tindakan pekerjanya yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik.Susulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, perkara tersebut tidak perlu lagi diperbesarkan.Beliau juga memaklumkan bahawa pada hari kejadian, beliau telah menyelaras perbincangan antara ahli Lembaga Pengelola, PIBG dan pihak sekolah.Dalam pada itu, Muhamad Akmal menegaskan isu berkenaan bukan semata-mata mengenai individu yang terlibat, tetapi mencerminkan kelalaian pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan simbol kebangsaan diperlakukan dengan hormat.Justeru, beliau mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil tindakan sewajarnya serta menjalankan siasatan lanjut terhadap latar belakang individu yang terlibat."Saya harap KPM juga mengambil perkara ini dengan serius agar ia menjadi pengajaran buat semua."Saya juga mendesak agar kementerian siasat siapakah OKU tersebut, adakah OKU fizikal ataupun mental?""Jika individu itu adalah OKU mental, adakah dia dibenarkan bekerja di dalam premis sekolah?" ujarnya.Sementara itu, Muhamad Akmal yang juga ADUN Merlimau turut menempelak segelintir ahli politik yang didakwa cuba mengalihkan perhatian daripada isu sebenar dengan menyatakan bahawa perkara tersebut sedang dipolitikkan."Kepada pemimpin politik yang berkata jangan politikkan perkara ini, kamu sebenarnya yang mempolitikkan isu ini."Ini bukan soal politik, tetapi soal patriotisme terhadap negara," tegasnya.