'Tembak GPMG atas kapal Maritim, pengalaman luar basa media'

KUANTAN – Cabaran menembak menggunakan senjata General Purpose Machine Gun (GPMG) serta M16 dari atas Kapal Maritim (KM) Langkawi di perairan Laut China Selatan di sini memberikan pengalaman berharga buat petugas media.Ia merupakan antara pengisian utama program Hari Bersama Media (HBM) anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sepanjang dua hari bermula Ahad, yang diadakan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini.Program tersebut melibatkan penyertaan kira-kira 50 warga media termasuk dari Sinar Harian.Pada hari pertama HBM, peserta menyertai pertandingan menembak precision menggunakan pistol Glock 19 bagi menguji ketepatan dan ketelitian penembak dalam sasaran jarak 10 meter untuk kategori individu dan berkumpulan.Turut diadakan ialah pertandingan berkayak yang mencabar kekuatan fizikal dan koordinasi peserta.Hari kedua menyaksikan warga media berpeluang menaiki KM Langkawi, sebelum menyaksikan demonstrasi tembakan di laut oleh pegawai Maritim Malaysia menggunakan senjata GPMG dan M16. Petugas media turut diberi peluang mencuba sendiri senjata tersebut untuk menembak ke arah sasaran yang ditetapkan.Ketua Meja Jenayah Bernama, Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad menyifatkan peluang merasai sendiri penggunaan senjata dari atas kapal sebagai pengalaman yang sukar dilupakan."Bukan sahaja pengalaman baharu, tetapi menjadi pemangkin untuk meningkatkan keyakinan dan keberanian diri."Kita dapat lihat bagaimana warga Maritim Malaysia menunjukkan kemahiran dalam mengendalikan senjata serta usaha mereka mengawal sempadan negara daripada ancaman anasir luar," katanya.Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam ucapannya menegaskan bahawa media merupakan rakan strategik Maritim Malaysia sejak awal penubuhan agensi tersebut.Menurutnya, Maritim Malaysia amat menghargai sokongan berterusan pihak media dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat."Tujuan program HBM ini adalah untuk memberi pendedahan secara langsung kepada media mengenai tugas dan peranan kami."Tahun ini sedikit kelainan, selain aktiviti seperti ujian menembak, media turut dibawa menaiki KM Langkawi," ujarnya.KM Langkawi merupakan kapal ronda luar pesisir yang dibina di Korea Selatan.Kapal sepanjang 75 meter itu mampu melaksanakan tugasan rondaan dan pengawasan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), serta boleh beroperasi di laut sehingga dua minggu, meskipun dalam keadaan cuaca buruk.