Interpretasi Taman Keabadian buat Aishah

SELEPAS lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi legenda Datuk Aishah kembali menghadiahkan peminat dengan single terbaharu berjudul Taman Keabadian, ciptaan komposer Senna.Lagu yang menyentuh emosi ini dilancarkan sebagai simbol kasih Aishah buat para peminat yang sentiasa menyokongnya sejak era Aishah & The Fan Club hingga ke pentas solo hari ini.Menurut Aishah, karya berkenaan sarat dengan tema kerinduan dan kehilangan, khususnya kepada insan-insan tercinta yang telah pergi mendahului."Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui ibu bapa, keluarga atau sahabat yang telah kembali ke negeri abadi. Lagu ini hadir bersama doa dan harapan, agar pertemuan semula bakal berlaku... di Taman Keabadian," katanya dengan penuh ketulusan.Bagi pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin, Taman Keabadian bukan sekadar sebuah lagu, tetapi hadir sebagai hadiah buat mereka yang sedang melalui episod kehilangan dan memerlukan kekuatan jiwa."Saya harap lagu ini dapat menjadi pengubat rindu dan semangat kepada mereka yang sedang bersedih. Ia adalah hadiah saya kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong selama ini," ujarnya lagi.Aishah memulakan kariernya di pentas antarabangsa bersama kumpulan Aishah & The Fan Club di New Zealand pada era 1980-an, sebelum mencipta nama sebagai penyanyi solo tersohor dengan lagu-lagu ikonik seperti Janji Manismu, Bahtera Merdeka, dan Kemaafan Dendam Yang Terindah.Pernah menembusi carta Billboard, memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM), serta dikurniakan gelaran Datuk, beliau kini dianggap antara khazanah seni suara negara yang disegani."Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus menyanyi. Setiap lagu yang saya bawakan adalah sebahagian daripada hidup saya, dan saya harap ia turut menjadi sebahagian daripada hidup pendengar," ungkapnya.Single Taman Keabadian boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 8 Ogos.