Remaja ceroboh rumah pempengaruh media sosial direman 4 hari

BALIK PULAU - Seorang remaja lelaki yang ditahan kerana disyaki menceroboh rumah milik seorang pempengaruh media sosial di Batu Maung pada Isnin direman selama empat hari bermula Selasa.Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret Balik Pulau kira-kira jam 9.30 pagi.Suspek berusia 21 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh.Suspek yang memakai jersi dan seluar sukan serta bergari itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau untuk permohonan reman siasatan lanjut.Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berjaya ditahan oleh penghuni sebuah kediaman selepas dia didapati menceroboh rumah berkenaan.Suspek berjaya ditahan ketika berpatah balik ke lokasi kejadian untuk mengambil semula barang yang tertinggal.Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek ditahan oleh penghuni rumah terbabit dengan bantuan rakan-rakannya.Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku pada 4 Ogos, kira-kira jam 4 petang.Tambahnya, insiden itu turut tular menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun Facebook 'Amigos Media Viral'."Suspek dipercayai memasuki rumah berkenaan melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar membuang sampah."Bagaimanapun, kehadiran suspek disedari penghuni rumah menyebabkan dia melarikan diri. Namun tidak lama selepas itu, dia kembali ke rumah tersebut untuk mengambil barang yang tertinggal," katanya.Sazalee menambah, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine."Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah," ujarnya.