KUANTAN – Nelayan asing dari Vietnam dikesan semakin aktif menceroboh perairan negara untuk mencuri hasil laut di Laut China Selatan terutama ketika musim cuaca buruk.Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) Langkawi, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng berkata, bertugas di laut memberikan cabaran yang jauh berbeza berbanding di darat terutama apabila berdepan cuaca ekstrem dan kebergantungan kepada sistem navigasi.Menurutnya, Maritim Malaysia sering berhadapan dengan jenayah maritim yang dilakukan nelayan Vietnam yang semakin agresif."Apabila kita menghampiri mereka, mereka akan cuba memprovokasi kita."Kita perlu memiliki ilmu kelautan dan keberanian tinggi. Mereka biasanya masuk ketika musim cuaca buruk kerana menganggap kapal penguat kuasa sukar beroperasi di kawasan tertentu," katanya kepada pemberita semasa program Hari Bersama Media (HBM) anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini, pada Isnin.Program HBM yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.Eizanizam turut memaklumkan bahawa KM Langkawi memiliki kru wanita yang berperanan penting termasuk dalam bahagian operasi.Salah seorang daripadanya ialah Pegawai Geledah KM Langkawi, Leftenan Muda Maritim Nur Syuhada Faizah Mohammad Yazid yang ditugaskan sebagai ketua geledah dalam pemeriksaan bot, mengikut akta yang ditetapkan seperti Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Perikanan 1985.Menurut Nur Syuhada, setiap proses penggeledahan melibatkan risiko tersendiri."Antara cabaran utama ketika pemeriksaan ke atas bot nelayan asing ialah mereka akan memecut laju, menukar haluan secara tiba-tiba dan cuba melarikan diri."Apa yang kami lakukan ialah mengejar mereka sehingga berjaya dihentikan," katanya sambil mengakui bahawa sebagai pegawai wanita, ia merupakan cabaran unik apabila mengetuai kru lelaki.Wanita berusia 29 tahun itu turut menyatakan minat mendalam terhadap kerjaya dalam badan beruniform dan mahu membuktikan bahawa wanita juga mampu bertugas di laut."Tugas ini memang mencabar kerana perlu bekerjasama dan memimpin anggota lelaki. Namun sebagai pegawai, saya perlu memainkan peranan itu," ujarnya.