KURANG keserasian menjadi antara faktor Kelantan WTS sekadar melakarkan kemenangan tipis 1-0 dalam aksi pembuka tirai Liga A1 Semi Pro ketika turun melayan kunjungan pasukan Malaysian Universiti (MU) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.Ketua jurulatih Kelantan WTS, Che Saupi Ibrahim mengakui kecewa selepas beberapa siri serangan gagal disempurnakan menjadi gol seperti yang disasarkan."Dari segi serangan, kita banyak melakukan kesilapan walaupun menguasai kira-kira 60 peratus perlawanan. Namun, penyudah sangat mengecewakan. Kita hanya dapat satu gol, sedangkan sepatutnya kita boleh jaringkan empat gol," katanya.Beliau berkata, pasukannya hanya sempat mengharungi empat perlawanan persahabatan sebelum memulakan aksi sebenar dalam liga."Memang kita banyak menguasai perlawanan tetapi keserasian di bahagian tengah perlu diperbaiki kerana kita banyak kehilangan bola," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.Begitupun Che Saupi menyifatkan kemenangan itu sedikit sebanyak mampu menjadi suntikan semangat untuk menghadapi perlawanan seterusnya.Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan padang becak dan hujan turut menjejaskan prestasi pasukannya, namun pemain berjaya menyesuaikan diri dengan rentak permainan selepas menerima arahan."Alhamdulillah, dengan nasihat yang diberikan, pemain bermain dengan baik tanpa melakukan kesalahan besar. Ini satu petanda positif untuk kita melangkah ke perlawanan kedua," katanya.Sementara itu, ketua jurulatih MU, Muhd Yazli Yahya berkata, meskipun keputusan perlawanan tidak memihak kepada pasukannya, namun beliau tetap berpuas hati dengan usaha yang ditunjukkan pemain."Saya rasa keadaan padang serta cuaca hujan sedikit mengganggu rentak permainan dan kami terima keputusan itu dengan terbuka," katanya.Tambahnya, semua pemain MU merupakan pemain tempatan dan masih memerlukan masa untuk membina keserasian."Kebanyakan pemain masih baharu dan ada yang gagal menampilkan prestasi seperti sebelum ini. Itu antara sebab rentak permainan terganggu," jelasnya.