PEKAN – Pemergian suami isteri pemilik kedai emas, Allahyarham Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan isteri, Nur Syamimi Rosli, 36, akibat kemalangan tragis pada Isnin meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah golongan yang pernah dibantu mereka.Bapa Allahyarham Nur Syamimi, Rosli Ramli, 61, berkata, anak dan menantunya tidak kedekut dan selalu membantu ahli keluarga dan golongan yang memerlukan.Menurutnya, anak dan menantunya itu adakalanya menangis melihat kesusahan dilalui keluarga miskin yang dibantu mereka."Mungkin asbab daripada sifat pemurah mereka, ALLAH permudahkan urusan perniagaan barang kemas diusahakan hingga berjaya membuka dua kedai emas termasuk di Pekan."Dulu dia (Nur Syamimi) menjual barang kemas termasuk barang perhiasan suasa dan perak secara kecil-kecilan termasuk di pekan sehari."Berkat usaha mereka, perniagaan barang kemas yang diusahakan lebih 10 tahun lalu itu semakin maju dan boleh dibanggakan," katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu di sini pada Selasa.Rosli yang juga pesara guru berkata, anak dan menantunya itu sering keluar bersama setiap kali hantar barang kemas kepada pelanggan."Kali terakhir kami bertemu dua hari lalu ketika mereka datang menghantar anak ketiganya untuk bermalam di rumah."Saya cuma dapat tahu mereka ke Segamat semalam (Isnin) untuk bertemu pelanggan sebelum menerima khabar mengejutkan ini," katanya.Menurutnya, khabar kemalangan menimpa anak sulungnya itu diterima kira-kira jam 3 petang selepas menerima panggilan daripada anak bongsunya."Masa terima panggilan saya baru hendak makan tengah hari."Anak beritahu kakak dia dan suami kemalangan dan kedua-duanya maut di tempat kejadian," ujarnya.Rosli berkata, pemergian pasangan itu satu kehilangan besar kerana perniagaan yang mereka bina bersama sedang berada pada kemuncak."Mereka pergi waktu perniagaan sedang maju tapi ALLAH lebih sayangkan mereka," ujar Rosli yang pernah kehilangan anak kedua, Allahyarham Mohd Shazwan dalam kemalangan pada 2011.Allahyarham Mohd Izuddin dan Nur Syamimi meninggalkan empat anak perempuan berusia antara dua hingga 11 tahun iaitu Nur Izzara Eryna, 11; Nur Airaa Eryna, 7; Nur Naura Eryna, 4; dan Nur Qairaa Eryna, 2.Sementara itu, adik bongsa Nur Syamimi, Nur Izzah Ezani Rosli, 26, berkata, kakak dan abang iparnya juga baik dengan pekerja malah sering belanja mereka makan.Katanya, pada Jumaat lalu mereka sempat belanja kek untuk pekerja kedai emas di Pekan."Pada pagi Isnin, mereka singgah di kedai untuk ambil barang kemas yang dipesan pelanggan."Masa itu hanya abang ipar yang turun ambil barang manakala kakak hanya tunggu dalam kereta," katanya.Nur Izzah berkata, khabar diterima menngenai kemalangan menimpa kakak dan abang iparnya amat mengejutkan.Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu di sini kira-kira jam 10.45 pagi pada Selasa.Terdahulu, jenazah dibawa menggunakan dua van jenazah dari rumah keluarga di Taman Syahbandar dan tiba di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad, Pekan di sini kira-kira jam 9 pagi untuk disembahyangkan.Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri itu maut selepas kereta jenis Ford Mustang dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan, berhampiran simpang Felda Pemanis, Segamat.Nahas kira-kira jam 2 petang itu dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Segamat.Akibat kejadian, pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia tempat kejadian.