MELAKA - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau di sebuah kedai serbaneka bulan lalu.Tertuduh, Amirul Hamry Hambalyi Azahari, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri.Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging dan melarikan wang tunai RM202.80, tiga kotak rokok serta sebuah mesin pengimbas harga.Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 3 pagi di sebuah kedai serbaneka di Jalan Laksamana Cheng Ho 2, pada 29 Julai lalu.Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap dua minggu sekali di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.Tertuduh, yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan.Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan. Tarikh 2 September depan ditetapkan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.Bagaimanapun, suasana kecoh tercetus di ruang legar Kaunter Balai Polis Kompleks Mahkamah Melaka sejurus selepas prosiding apabila dua wanita, dipercayai ahli keluarga tertuduh, menghampiri seorang jurukamera televisyen berpengalaman lebih 15 tahun dan menyentuh bahunya sambil meminta agar rakaman dihentikan.Seorang lagi jurukamera akhbar berpengalaman hampir 30 tahun yang sedang membuat rakaman video tertuduh turut diganggu dengan cara yang sama.Salah seorang wanita berkenaan turut membuat dakwaan kononnya bekerja dalam sektor kerajaan dalam cubaan memprovokasi keadaan.Namun, situasi tegang itu berjaya diredakan oleh anggota polis bertugas yang segera menenangkan keadaan dan mengawal situasi.