TH ingatkan bakal jemaah haji tahun depan buat persiapan awal

SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan bakal jemaah haji dalam giliran bagi musim 1447H/2026M supaya mengemas kini rekod maklumat peribadi, kesihatan, kewangan, pengurusan diri serta menambah ilmu berkaitan fardu ain dan ibadat haji.Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata giliran menunaikan haji boleh disemak melalui aplikasi dalam talian THiJARI atau di pejabat cawangan TH di seluruh negara."Langkah proaktif ini selari dengan usaha berterusan TH dalam mempertingkatkan perkhidmatan demi manfaat jemaah haji Malaysia."Makluman peringatan awal ini dikeluarkan bagi membantu bakal jemaah membuat persediaan lebih awal. Berdasarkan pengalaman, ramai yang tidak berjaya melayakkan diri menerima tawaran haji disebabkan faktor kesihatan dan kewangan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Dalam pada itu, Mustakim turut menyarankan bakal jemaah untuk terus meningkatkan simpanan di TH bagi mencukupkan wang belanja haji yang dijangka meningkat dari tahun ke tahun.Justeru, beliau menyeru bakal jemaah agar menyimpan secara berkala dan merangka perancangan kewangan sebaik mungkin menjelang tiba tahun giliran mereka."Ibadat haji adalah ibadat yang memerlukan persediaan amat rapi, khususnya bagi memenuhi syarat istito’ah (kemampuan)."Peringatan mesra ini diharap dapat membantu bakal jemaah meningkatkan tahap ketersediaan mereka agar layak menerima tawaran dan kemudiannya dapat menunaikan ibadat haji dengan lancar serta memperoleh haji mabrur," jelas beliau.TH juga menyediakan kemudahan menyimpan secara berkala melalui potongan gaji atau akaun bank menerusi platform THiJARI.Bakal jemaah disarankan untuk mencukupkan simpanan sekurang-kurangnya RM15,000, iaitu jumlah bayaran ditetapkan bagi golongan B40 untuk layak menerima tawaran haji bagi tahun giliran.