Broker tanah direman guna geran palsu jual tanah RM3.8 juta

SEREMBAN – Seorang broker tanah di Negeri Sembilan direman selama tujuh hari selepas disyaki menggunakan dokumen geran yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah berjumlah kira-kira RM3.8 juta.Perintah reman terhadap suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Saiful Sayoti selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Seremban, pada Selasa.Tempoh reman bermula pada 5 Ogos hingga 11 Ogos 2025.Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 5.30 petang Isnin, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan."Siasatan awal mendapati suspek disyaki telah menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu, iaitu geran tanah di Mukim Lenggeng, daerah Seremban yang menggunakan nama individu lain bagi memperoleh wang hasil jualan tanah tersebut yang dianggarkan bernilai RM3.8 juta," katanya.Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.