KPDN buka kertas siasatan kenderaan Singapura isi RON95 dalam botol plastik

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah membuka kertas siasatan susulan aduan tular melibatkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing yang didapati mengisi petrol RON95 ke dalam tong plastik di sebuah stesen minyak.Menurut kenyataan KPDN Johor, kejadian berkenaan dikesan berlaku di kawasan sekitar Iskandar Puteri dan tindakan segera telah diambil oleh pihak berkuasa."Pada Isnin, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Johor telah menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak terlibat dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), memeriksa resit pembelian serta mendapatkan maklumat daripada pemilik stesen minyak," kata kenyataan itu.KPDN Johor turut memberi amaran tegas kepada pengusaha stesen minyak agar lebih berwaspada dan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika melibatkan individu."Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, individu boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya."Sementara itu, bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama, denda maksimum adalah RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan berulang," katanya lagi.Sebelum itu, pada Ahad tular di media sosial gambar seorang pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dilihat mengisi petrol RON95 ke dalam botol plastik di sebuah stesen minyak yang didakwa terletak di Iskandar Puteri.