Anggota polis langgar remaja hingga maut akan didakwa

SUNGAI PETANI – Anggota polis yang terlibat dalam kemalangan di Guar Chempedak sehingga menyebabkan kematian seorang remaja dijangka dihadapkan ke mahkamah pada Rabu.Proses pendakwaan ke atas anggota polis terbabit difahamkan akan dilaksanakan di Mahkamah Gurun.Dalam kejadian yang berlaku pada 28 Julai lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan menerima makluman mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta dipandu anggota polis dari IPD sama yang berlanggar dengan motosikal ditunggang Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16, di lampu isyarat pekan Guar Chempedak.Siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, anggota terbabit yang datang dari arah Jenun ke Yan tidak berhenti di lampu isyarat merah, lalu merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah Alor Setar ke Gurun.Remaja tersebut mengalami kecederaan parah akibat pelanggaran itu dan dilaporkan meninggal dunia selepas hampir tiga hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.Sebelum ini, Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan bahawa polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Beliau turut memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap anggota terbabit dan pihaknya tidak akan berkompromi atas kecuaian ketika memandu yang menyebabkan kehilangan nyawa.