KOTA BHARU - Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya pada hujung tahun lepas dan tahun ini.Tertuduh juga seorang penjaga stor berusia 49 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Zulkifli Abllah.Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual ke atas mangsa yang berusia 16 tahun tujuh bulan dengan maksud seksual di sebuah rumah di Badang di sini pada jam 3.30 petang, Disember tahun lepas.Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa kesalahan itu di lokasi sama pada Februari lalu, manakala bagi pertuduhan kelima didakwa berlaku di lokasi serupa pada Mac lalu.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a), 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut seksyen 14 serta Seksyen 377B Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 16 akta yang sama (hubungan amanah).Sabit kesalahan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan, pesalah hendaklah dihukum penjara maksimum 20 tahun serta boleh juga disebat.Bagi Seksyen 16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak, tambahan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat minimun dua memandangkan wujud hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili Wan Amani Wan 'Azimin.Pada prosiding itu, Ahmad Faiz tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tuduhan serius membabitkan hubungan amanah sebagai bapa dan anak tiri.Wan Amani bagaimanapun memohon jaminan dengan alasan anak guamnya tinggal berasingan dengan mangsa."Mangsa kini tinggal di rumah ibu bapa saudara dan dijaga rapi."Anak guam saya pula mempunyai penyakit saraf selain pernah mengalami anxiety dan masih perlu menyara lima anak serta isteri melalui pendapatan RM70 sehari," katanya.Zulkifli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin bersyarat tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi serta perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap dua bulan.Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 September ini.Tertuduh membayar jaminan itu.