KAJANG – Semua pihak diminta menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan berkaitan siasatan kes kematian pelajar sekolah, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya."Bila ada insiden berlaku, maka kertas siasatan dibuka. Bila selesai, ia diserahkan kepada Peguam Negara. Kita kena hormat proses undang-undang," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penutup i-Deen Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2025, di sini pada Selasa.Menurut beliau, Peguam Negara akan mengembalikan kertas siasatan kepada polis sekiranya terdapat keperluan untuk penambahbaikan."Dalam kes seperti ini, sebarang keputusan perlu dibuat dengan teliti dan berdasarkan keyakinan penuh terhadap bukti yang dikumpulkan."Peguam Negara mesti betul-betul yakin sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pendakwaan," ujarnya.Pada Isnin, media melaporkan bahawa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan kertas siasatan kes kematian Zara Qairina telah diserahkan kepada AGC.Dalam kenyataan berasingan, AGC memaklumkan pihaknya telah menerima laporan penuh siasatan awal daripada polis pada dua peringkat 3 Ogos daripada Cawangan Sabah dan 4 Ogos daripada Ibu Pejabat Putrajaya.AGC menjelaskan, laporan tersebut sedang diteliti secara menyeluruh dari segi undang-undang dan fakta sebelum sebarang keputusan dibuat.Allahyarham Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital keesokannya.Kematian tragik itu mencetuskan perhatian meluas masyarakat susulan dakwaan berlakunya buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.