Cadangan tamat sekolah umur 16 tahun perlu kajian menyeluruh

PUTRAJAYA – Cadangan untuk menamatkan persekolahan pada usia 16 tahun perlu dikaji secara menyeluruh kerana ia melibatkan implikasi besar terhadap pembangunan generasi muda dan struktur sistem pendidikan negara.Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, meskipun langkah itu dilihat mampu menangani isu populasi menua serta mempercepatkan kemasukan tenaga kerja muda ke pasaran pekerjaan, pelaksanaannya tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa."Saya suka mengambil sikap berhati-hati dengan cadangan had umur 16 tahun ini kerana ia memberi beberapa kesan yang mesti diuruskan."Kalau pelajar tamat sekolah pada umur 16 tahun, maka kerajaan kena bersedia untuk menurunkan had umur masuk ke universiti," katanya.Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kepada kerajaan untuk menetapkan umur berakhir persekolahan pada usia 16 tahun.Ahli Parlimen Pandan itu berpandangan ia memberi peluang kepada golongan itu untuk menyertai dunia pekerjaan pada usia lebih muda.Dalam pada itu, Anuar menjelaskan, waktu antara usia 16 hingga 18 tahun merupakan tempoh kritikal yang memerlukan perancangan jelas kerana ketika ini, pengajian tinggi lazimnya bermula pada usia 18 atau 19 tahun."Kita boleh mempertimbangkan 16 tahun ini dengan syarat 'vacuum' itu mesti diisi, maksudnya, selepas tamat sekolah pada 16 tahun, kalau pelajar itu tidak mahu sambung belajar, apakah pengisian untuk pasca 16 tahun itu?"Adakah mereka akan bekerja dengan gaji upah atau hanya duduk di rumah dua hingga tiga tahun? Ini akan merugikan negara," tegasnya.Dr Anuar turut mengingatkan bahawa tanpa pelan tindakan yang konkrit, pelajar yang tamat sekolah lebih awal dan tidak menyambung pengajian berisiko besar untuk tidak terlibat dalam aktiviti yang produktif."Saya tak mahu anak kita berhenti terlalu awal, kemudian tidak merancang untuk menyambung pelajaran. Mereka jadi tidak melakukan sesuatu yang produktif."Kita belum nampak lagi cadangan yang konkrit mengapa perlu tamatkan sekolah pada umur 16 tahun. Saya rasa pada usia 17 tahun sekarang pun sudah dianggap agak muda," katanya.Justeru, beliau tidak menolak secara mutlak cadangan berkenaan, namun menegaskan perlunya kajian menyeluruh bagi menilai kesan jangka panjang terhadap masa depan anak-anak dan sistem pendidikan negara."Kalau anak-anak ini boleh diberikan ruang untuk lebih produktif, mereka akan mendapat pekerjaan yang baik selepas tamat sekolah dan ia juga menjimatkan kos kerajaan dari segi penyediaan pendidikan, maka ia boleh dipertimbangkan."Tetapi buat masa ini, kita perlukan kajian-kajian yang menyeluruh untuk meyakinkan masyarakat bahawa umur 16 tahun ini adalah had tamat sekolah yang lebih baik daripada amalan sekarang," ujarnya.