KAJANG - Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mengendalikan klien perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu selari dengan perubahan corak penagihan dadah masa kini.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemunculan pelbagai jenis dadah sintetik memerlukan pegawai AADK meningkatkan kemahiran serta pengetahuan dalam menguruskan klien."Lebih empat dekad AADK bertarung memerangi dadah di negara ini. Jika dahulu, tiada dadah sintetik dan semuanya dadah konvensional."Jadi, pengambilan dadah sintetik memerlukan kaedah rawatan berlainan kerana terdapat kesan serta simptom berbeza dialami klien seperti halusinasi," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penutup i-Deen Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2025 di sini pada Selasa.Menurut Saifuddin, AADK kini telah mencapai kadar pemulihan klien sebanyak 79 peratus menerusi modul latihan yang diguna pakai agensi itu."Ada klien di AADK yang masuk ke pusat pemulihan secara sukarela atau melalui perintah mahkamah. Apabila mereka menjejakkan kaki ke pusat ini, mereka akan mengikuti modul latihan termasuk kerohanian."Di akhir program rawatan itu, mereka akan dinilai semula dan menjadi kayu pengukur. Kini, AADK telah mencapai kadar 79 peratus pemulihan klien," jelasnya.Katanya, AADK menyasarkan kadar pemulihan klien sebanyak 80 peratus."Kadar itu saya anggap sebagai kadar pemulihan yang baik," katanya.Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin berkata, pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pusat pemulihan persendirian (PPP) yang dikesan melakukan kesalahan."Akta ini membolehkan kita mengambil langkah kawalan termasuk ke atas PPP. Jika berlaku pelanggaran, sememangnya tindakan tegas boleh diambil," katanya.Beliau berkata demikian selepas mengulas laporan media yang mendedahkan pengalaman bekas penagih dadah yang mendakwa dianiaya di sebuah PPP tidak berdaftar di Selangor.Dalam pada itu, Saifuddin mengesahkan terdapat sebuah PPP yang telah diambil tindakan di Negeri Sembilan kerana membabitkan kematian klien."Dulu kita tidak boleh ambil tindakan, tetapi selepas pindaan dibuat, ia boleh dilaksanakan. Itu antara kebaikan pindaan terhadap akta tersebut," jelasnya.