KUALA LUMPUR - Sektor kewangan perlu terus kekal sebagai asas transformasi Malaysia apabila negara memasuki lembaran agenda pembangunan seterusnya berlandaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.Beliau berkata, sektor itu perlu kekal mudah suai, berdaya saing dan inklusif, di samping melindungi kepercayaan, integriti dan daya tahan sebagai terasnya.Sektor kewangan Malaysia telah mencatatkan kemajuan besar sepanjang beberapa dekad lepas serta mengukuhkan asasnya, memperluas akses dan melaksanakan transformasi digital mengikut Pelan Sektor Kewangan 2022–2026, katanya."Sektor ini memberi sumbangan yang sangat besar bukan sahaja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), malah juga kepada hasil pembangunan negara — meliputi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana serta kepimpinan dalam kewangan Islam, pembayaran digital dan mekanisme perlindungan sosial. Bagaimanapun, kemajuan ini perlu diteruskan."Mengikut RMK13, sektor kewangan dikenal pasti dan diiktiraf sebagai satu daripada 17 sektor strategik pertumbuhan tinggi, bernilai tinggi dan berimpak tinggi yang akan menyokong kepelbagaian ekonomi yang lebih luas," katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada Minggu MyFintech 2025 di sini pada Selasa.Amir Hamzah berkata, sistem kewangan perlu berkembang sebagai pemangkin kepada peralihan negara ke arah ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya inovasi.Beliau berkata, merealisasikan aspirasi RMK13 memerlukan komitmen tanpa belah bahagi, dasar yang inovatif dan kerjasama erat merentas semua sektor masyarakat."Saya menyeru institusi kewangan untuk menjadi contoh teladan. Sebagai sektor pertama yang membangunkan dan mengguna pakai Kerangka Kemahiran Masa Depan, adalah penting untuk terus melabur dalam pembangunan modal insan — menggalakkan mobiliti rentas fungsi, kepelbagaian pasukan, dan komuniti amalan untuk membina sistem kewangan yang mudah menyesuaikan diri dan warganya sentiasa belajar," katanya.Beliau turut menggariskan empat keutamaan strategik sebagai panduan hala tuju masa depan, iaitu F-I-N-D, yang merujuk kepada "Foster, Invest, Nurture, and Democratise".Beliau berkata, dalam melangkah maju, Malaysia perlu terus memperluas penyelesaian yang menggabungkan inovasi digital dengan penglibatan komuniti, khususnya bagi pekerja tidak formal, peserta ekonomi gig dan perusahaan mikro."Literasi kewangan juga mesti diberi keutamaan, khususnya dalam kalangan belia, wanita dan komuniti luar bandar. Usaha ini penting untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial kita dan membina daya tahan kewangan yang berpanjangan," katanya.Edisi ketiga Minggu MyFintech itu yang mengangkat tema "Ideate, Innovate, Co-create: Shaping the Future of Finance", dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Asian Institute of Chartered Bankers, Persatuan Fintech Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation, berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos ini. - Bernama