Pegawai polis ditahan disyaki minta, terima rasuah daripada warga asing

KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang pegawai polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.Suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,500 daripada seorang lelaki warga asing sebagai balasan untuk mempercepatkan proses siasatan melibatkan satu kes pergaduhan.Pegawai polis yang berkhidmat di ibu pejabat polis daerah di negeri ini telah ditahan di tempat kerjanya kira-kira jam 5 petang pada Isnin.Siasatan awal mendapati, suspek meminta wang kira-kira RM1,000 daripada lelaki warga asing yang bergaduh dengan abang iparnya sebelum membuat satu laporan polis pada awal Julai lalu.Wang rasuah berkenaan sebagai dorongan untuk menangkap abang ipar lelaki terbabit yang kini berada dalam tahanan polis dan bagi mempercepat proses siasatan untuk diserahkan kepada pihak imigresen bagi tujuan pengusiran balik ke negara asal.Difahamkan, setelah menerima wang kira-kira RM1,000, suspek meminta lagi wang RM3,000 daripada pengadu sebelum bersetuju menerima wang tunai kira-kira RM2,500 bagi mempercepat proses siasatan berkenaan.Suspek dibawa ke mahkamah pada Selasa untuk perintah reman.Majistret Ellyna Othman membenarkan perintah reman selama lima hari sehingga 9 Ogos depan terhadap suspek selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Kuantan.Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.