Kapal layar karam: Eser Demirkol masih belum ditemui

KUALA TERENGGANU – Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan seorang lelaki warga Turkiye yang dikhuatiri hilang selepas kapal layar Daisy dinaikinya karam di perairan Pulau Yu, di sini masih belum menemui sebarang petunjuk baharu.Mangsa, Eser Demirkol, 52, kini memasuki hari keenam hilang dipercayai tenggelam bersama kapal layar tersebut selepas dipukul ribut dalam kejadian yang berlaku minggu lalu.Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pencarian pada Selasa dimulakan seawal jam 7 pagi selepas operasi pada petang Isnin terpaksa ditangguhkan disebabkan cuaca buruk."Seramai 41 anggota penyelamat, terdiri daripada kru KM Amanah, Bot Penggalang 45, serta sembilan penyelam Skuadron Selam Maritim Malaysia, telah digerakkan ke lokasi pencarian."Fokus pencarian tertumpu di sekitar kawasan dipercayai lokasi kapal karam dan sekitar kawasan penemuan mangsa kedua yang dijumpai kira-kira lima batu nautika dari Pulau Yu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Tambah beliau, pasukan penyelam turut menggunakan teknologi Remotely Operated Vehicle (ROV) bagi membantu pencarian di dasar laut."Setakat ini, masih tiada perkembangan positif berhubung kehilangan mangsa. Keadaan cuaca tidak menentu, termasuk angin kencang dan laut bergelora turut menyukarkan operasi."Namun, usaha pencarian tetap diteruskan mengikut sektor pencarian yang ditetapkan," katanya lagi.Dalam insiden sama, dua lagi mangsa iaitu Ahmet Volkan Ata, 52, dan Ates Demiroren, 42, berjaya diselamatkan dan kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital.Kedua-dua mereka kini di bawah pengurusan Kedutaan Turkiye di Malaysia.Hamiludin turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau terlihat objek mencurigakan di sekitar kawasan kejadian agar segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-622 4357.