SEGAMAT – Melunaskan bayaran gaji pekerja mungkin kelihatan seperti rutin bulanan biasa bagi seorang majikan, namun ia menjadi amanah terakhir yang sempat ditunaikan pasangan suami isteri, Allahyarhamah Nur Syamimi Rosli, 36, dan Allahyarham Mohd Izuddin Harmaini, 51, sebelum mereka maut dalam nahas ngeri di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan pada petang Isnin.Perkara itu dikongsikan di laman sosial TikTok oleh seorang kakitangan restoran milik pasangan berkenaan yang menyifatkan pemergian kedua-duanya sebagai mengejutkan bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah seluruh kenalan dan sahabat mereka."Sudah lama arwah tidak datang ke kedai. Sebelum memulakan perjalanan, arwah sempat memasukkan duit gaji kakitangan."Selepas itu, dia (Nur Syamimi) diam sahaja. Banyak yang menjadi tanda tanya kerana akhir-akhir ini beliau kerap memuat naik video sedih serta menyentuh hati."Rupa-rupanya, kira-kira jam 2 petang hari ini, dia disahkan meninggal dunia bersama suami apabila kereta yang dinaiki hilang kawalan dipercayai akibat hujan lebat berterusan," katanya.Pasangan usahawan itu yang mengusahakan perniagaan barang kemas dan restoran, maut di lokasi kejadian apabila kereta jenis Ford Mustang yang dinaiki terbabas lalu melanggar tiang elektrik, menyebabkan kedua-duanya cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, berkata, siasatan awal mendapati hujan lebat dipercayai menjadi punca kenderaan tersebut hilang kawalan sebelum terbabas.Menurutnya, pemergian mengejut pasangan itu turut mengundang kesedihan mendalam dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan, lebih-lebih lagi apabila keempat-empat anak mereka kini menjadi yatim piatu."Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Daerah Segamat bagi membantu siasatan," ujarnya.