[VIDEO] 'Lain kali baca dulu, jangan hentam kromo' - PM bidas pembangkang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pembangkang yang disifatkannya tidak membuat persediaan sewajarnya sebelum menghadiri sidang Dewan Rakyat.Ahli Parlimen Tambun itu berkata, terdapat dalam kalangan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sendiri yang tidak membaca kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin."Yang Berhormat tak baca kenyataan ketua sendiri iaitu Ahli Parlimen Pagoh. Lain kali baca dulu sebelum datang Parlimen, jangan pakai hentam kromo sahaja."Baca kenyataan YB Pagoh yang mempersoalkan mengapa kerajaan bebankan orang asing sedangkan orang asing juga memberi sumbangan kepada negara," katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.Anwar berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapa ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing, susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.Namun, Anwar menjelaskan bahawa beliau menerima maklumat berkenaan terdapat ahli Parlimen yang tampil mempertahankan warga asing."Saya pun sukar nak faham, macam saya ini wakil rakyat Bangladesh dan Rohingya, apabila ada ahli Parlimen mempertahankan warga asing dan mempersoalkan kenapa mereka turut dibebankan," sindirnya.Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa langkah penyasaran subsidi seperti elektrik dan cadangan penyasaran subsidi RON95 dilakukan demi memastikan rakyat tempatan tidak terbeban, selain membantu kerajaan menurunkan defisit fiskal negara."Kita terpaksa turunkan defisit kerana kalau tidak, hutang negara akan membengkak dan keyakinan pelabur terhadap negara akan merosot," katanya.