Ismanira selesai bela diri kes abai Zayn Rayyan, keputusan 31 Oktober ini

PETALING JAYA – Selepas enam hari prosiding bela diri bagi kes pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin, pembelaan bagi pihak Ismanira Abdul Manaf menutup kesnya di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.Sepanjang prosiding bermula 21 Julai lalu, seramai lima saksi memberi keterangan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh dengan Ismanira, 30, hadir sebagai saksi pembelaan (SD) pertama.Ia diikuti bapa mentuanya, Zahari Mohd Reba selaku SD kedua; SD3, ibu saudara Zaim yang juga seorang anggota polis dan SD4, rakan baik Ismanira, Umi Syafiqah Rohizal, 30.Semasa prosiding, peguam, Haresh Mahadevan memberitahu bahawa, pembelaan telah memanggil lima saksi untuk membela Ismanira dengan saksi terakhir ialah SD5, Doktor Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aisyah Rosli, 49."Pihak pembelaan tiada saksi lain dan kami menutup kes hari ini," katanya.Hakim, Syahliza kemudiannya menetapkan 8 September depan untuk hujahan bertulis, manakala hujahan balas pada 22 September."Keputusan di akhir kes pembelaan ditetapkan pada 31 Oktober depan," kata hakim itu.Selain Haresh, tertuduh turut diwakili peguam, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.