31,287 PATI, 1,225 majikan ditahan dalam tempoh tujuh bulan

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan tangkapan 31,287 pendatang asing tanpa izin (PATI) hasil 8,190 operasi yang dijalankan bagi tempoh tujuh bulan tahun ini sejak Januari.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 1,225 majikan turut ditahan kerana menggaji atau melindungi PATI.Menurutnya, JIM terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan di seluruh negara bagi membanteras PATI dan melindungi kesejahteraan rakyat."Berdasarkan angka ini, secara purata JIM telah melaksanakan 39 operasi, tangkapan 148 PATI dan enam majikan dalam sehari."Purata seminggu pula sebanyak 264 operasi, 1,009 tangkapan PATI dan 40 majikan, manakala bagi sebulan sebanyak 1,170 operasi dengan tangkapan 4,470 PATI serta 175 majikan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, setiap operasi bukan sekadar serbuan sebaliknya merupakan manifestasi amanah yang digalas oleh JIM selaras dengan prinsip Kerajaan Madani iaitu menjaga kedaulatan, menjamin keselamatan dan menegakkan undang-undang secara adil serta berintegriti.Jelasnya, ini bukan sekadar statistik, ia mencerminkan ketegasan dan iltizam JIM dalam menjunjung nilai akauntabiliti, profesionalisme dan keselamatan nasional seperti yang digariskan di bawah kerangka Madani."JIM komited untuk terus memperkukuh penguatkuasaan dan mempercepat reformasi perkhidmatan yang berteraskan integriti demi rakyat dan negara," ujarnya.